Dari segi sejarah, ibadah haji ialah
syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui
dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Ibadat haji mula diwajibkan ke
atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut haul yang mashur iaitu dengan
turunnya ayat 97 surah Al-Imran yang bermaksud :
" Dan Allah Taala mewajibkan
manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang
mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar
kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan
sesuatu pun daripada sekelian makhluk".
Pada tahun tersebut Rasulullah
S.A.W. bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk
menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang
oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan
perjanjian Hudaibiah.
Perjanjian itu membuka jalan bagi
perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya (Tahun ke-7 Hijrah),
Rasulullah telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam. Pada
tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah
S.A.W. mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam
mengerjakan haji.