Tuesday, 26 November 2013

Allah mendengar doa anak yang berbakti kepada kedua ibu bapa




                Pada zaman dahulu, ada 3 sahabat yang mengembara bersama-sama. Dalam perjalanan, hujan turun dengan lebat dan mereka memutuskan untuk berlindung didalam sebuah gua. Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam gua itu, sebijik batu yang besar jatuh dari puncak gunung dan menutup pintu gua itu. Mereka terperangkap dan tidak dapat keluar. Salah seorang dari mereka memberi pendapat dalam keadaan sedih dengan berkata, “ Kita tidak mungkin keluar dari gua ini kecuali memohon keselamatn daripada Allah sambil bertawassul pada amal kebajikan yang pernah kita lakukan.” Mereka pun sepakat berdoa kepada Allah dan bertawassul dengan menyebut amal-amal soleh yang pernah mereka lakukan .
                
               Sahabat yang pertama berdoa, “Ya Allah, aku mempunyai orang tua yang lanjut usianya. Setiap hari aku keluar mengambala kambing dan memerah susu kambing untuk kedua-dua orang tuaku. Sesudah mereka puas meminumnya, barulah aku berikan susu itu kepada ahli keluargaku yang lain. Pada suatu hari,aku terlambat pulang dan ibu bapaku sudah tidur dengan nyenyak. Aku tdiak mahu mengganggu mereka jadi aku biarkan mereka tidur.
               
               Pada waktu yang sama, anak-anakku merintih dikakiku meminta susu kerana mereka kehausan. Aku memandang anak-anakku dengan perasaan sedih namun aku tetap menunggu orang tuaku bangun. Hampir fajar, barulah mereka bangun dan barulah aku berikan mereka susu yang aku pegang sepanjang malam.
               
               Anak-anakku merenggek kehausan sepanjang malam itu kerana aku tidak memberi mereka minum susu itu walaupun sedikit. Ya Allah, sekiranya engkau menerima amalku demi mencari keredhaanmu, bukakanlah pintu gua ini dan selamatkanlah kami.”Tiba-tiba batu itu beralih sedikit sehingga mereka dapat melihat keluar tetapi mereka masih tidak dapat keluar.
             
               Sahabat yang kedua pula berdoa, “Ya Allah,aku mencintai anak bapa saudaraku. Cintaku kepadanya tulus. Sewaktu aku merasakan api asmara yang membara,aku ingin menidurinya. Dia tidak menolak tetapi meletakkan syarat aku perlu membayar 20 dinar kepadanya. Dengan susah payah aku berusaha mengumpul wang itu dan sesudah aku dapat mengumpulnya, aku pun menyerahkan wang itu kepadanya. Apabila aku hendak menidurinya, dia berkata “Engkau tidak boleh menikmati tubuhku kecuali dengan cara yang sah iaitu bernikah.” Dengan rasa berat hati aku meninggalkannya. Wang sebanyak 20 dinar itu aku berikan ikhlas kepadanya. Kemudian aku berasa berdosa dan menyesal. Aku segera bertaubat atas segala kesalahanku itu.Ya Allah, sekiranya engkau menerima taubatku demi mencari keredhaanmu,keluarkanlah kami dari gua ini.” Lalu batu itu pun beralih sedikit lagi tetapi mereka belum juga boleh keluar.
            
               Seterusnya, sahabat yang ketiga berdoa, “ Ya Allah, aku mempunyai beberapa orang pekerja dan aku membayar mereka dengan wang yang cukup kecuali seorang pekerja yang pergi tanpa sebarang alasan mahupun pesan. Wang gajinya yang tidak sempat aku berikan, aku masukkan dalam modal perniagaanku. Pada suatu hari, pekerja itu datang semula dan berkata “ Wahai hamba Allah, bayarlah gajiku yang belum sempat aku ambil dahulu.” Aku pun berkata kepadnya, “Semua yang engkau lihat disini, unta, kambing dan lembu adalah hasil kerjamu dahulu, ambillah.” Pekerja itu tidak percaya dengan kata-kataku dan berkata, “ Wahai hamba Allah, janganlah engkau mengejek dan bergurau denganku. Aku hanya mahu menuntut upahku.” Aku berkata, “Apa yang kamu lihat ini adalah hasil kerjamu iaitu upah kerjamu yang aku simpan sebagai modal.” Mendengarkan kata-kataku itu, dia mengambil semua hartaku itu tanpa meninggalkan sedikit pun. Ya Allah,sekiranya engkau menerima amalku demi mencari keredhaanmu,bukakanlah pintu gua ini.”
               
                Lalu batu itu beralih sehinggan seluruh pintu gua terbuka. Mereka pun keluar dengan selamat dan meneruskan perjalanan.
Demikianlah kisah yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim seperti yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w kepada Abdillah bin Umar.
                
                Nabi Muhammad s.a.w juga pernah bercerita mengenai seorang sahabat bernama Uwais bin Amir al-Qarni. Walaupun nabi sendiri belum pernah bertemu dengan Uwais, nabi mengetahui dia mempunyai keistimewaan luar biasa kerana Allah selalu mengabulkan doanya.


                Nabi berkata, “ Uwais adalah seorang penduduk Yaman yang berasal dari desa Qarn, dari suku Murad. Ayahnya sudah meninggal dunia dan dia tinggal bersama dengan ibunya. Uwais adalah anak yang sentiasa berbakti kepada ibunya. Dia pernah menghidap penyakit kusta dan sewaktu dia sakit, dia berdoa kepada Allah dan memohon supaya penyakitnya sembuh. Allah mengabulkan doanya itu dan dia pun sembuh. Namun di lengannya masih terlihat kesan ataupun bekas kusta sebesar mata wang dirham. Sesungguhnya, Uwais termasuk golongan tabiin.”

               Kemudian, nabi berkata kepada Abu Bakar dan Umar Al-Khattab, “Sekiranya kamu berkesempatan bertemu Uwais, mintalah dia memohonkan keampunan untukmu.” Mulai saat itu, Abu Bakar dan Umar teringin benar hendak berjumpan dengan Uwais. Sewaktu Umar menjadi khalifah,  beliau selalu bertanya kepada jemaah haji, “ Adakah ada antara kamu yang bernama Uwais?” Umar terus bertanya kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya sekiranya ada yang mengenali Uwais. Orang ramai tidak menyedari lelaki yang selalu bertanya mengenai Uwais itu adalah Umar.

                Pada suatu hari, ada orang berkata kepada Umar, “ Kami sudah meninggalkannya kerana dia hanya memiliki sedikit harta dan pakaiannya  yang buruk.” Umar berkata, “Celakalah engkau, sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w pernah memujiinya. Sekiranya engkau bertemu dengannya, mintalah dia memohonkan keampunan untukmu!”  Setiap tahun pada musim haji Umar terus mencari Uwais.

                Pada satu musim haji, Uwais datang bersama rombongannya dari Yaman. Umar yang mendapat berita kedatangannya, dengan segera pergi menemuinya. Umar mahu memastikan adakah orang itu benar-benar Uwais yang di maksudkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Umar betanya kepadanya, “Siapa namamu?”

Dia menjawab, “Uwais.”

Umar bertanya lagi, “Dari kabilah mana?”

Uwais menjawab, “ Kabilah Murad. Ayahku sudah meninggal dunia dan kini aku tinggal bersama ibuku.”

“Bagaimana kamu melayan ibumu?”  Tanya Umar.

Uwais bekata, “ Aku sentiasa berharap dapat berbakti kepada ibuku.”

Umar bertanya lagi, “ Adakah kamu pernah mengidap apa-apa penyakit?”

Uwais menjawab, “ Ya, aku pernah mengidap penyakit kusta. Di lenganku masih ada bekasnya sebesar 
mata wang dirham.” Kemudian Uwais menunjukkan bekas itu kepada Umar. Apabila Umar melihat bekas penyakit kusta itu, beliau terus memeluk Uwais dan berkata, “Engkaulah Uwais yang pernah disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w dahulu. Mohonkanlah keampunan untukku wahai Uwais!”

                Uwais kehairanan lalu berkata, “ Adakah engkau meminta aku memohonkan keampunan untukmu wahai Amirul Mukminin?” Umar berkata, “Ya tentu!”
Bagaimanakah Uwais melayan ibunya sehingga dia begitu istimewa dimata Nabi Muhammad s.a.w? Ternyata Uwais bin Amir selalu mendukung ibunya kemana sahaja dia pergi. Masya-Allah.


Credit to Dasyatnya Doa Ibu
SYAMSUDDIN  NOOR


Tuesday, 19 November 2013

Syarat wakil dan orang yang mengambil upah haji



Syarat-syarat untuk menjadi wakil atau mengambil upah menunaikan haji untuk orang lain ialah:-
  1. Orang itu telah pun menunaikan fardu haji untuk dirinya sendiri dengan sempurnanya, Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:- "Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki berkata ketika mengerjakan haji: " Aku sahut seruan mengerjakan haji menggantikan Syubrumah". Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya: "Sudahkah engkau mengerjakan haji untuk diri engkau sendiri" ? Jawab lelaki itu, "Belum". Rasulullah s.a.w berkata kepadanya, kalau begitu hendaklah engkau kerjakan haji untuk diri engkau sendiri dahulu, kemudian engkau kerjakan haji untuk Syubrumah pula" (Riwayat-Abu Daud dan Ibnu Majah)
  2. Hendaklah melakukan fardu haji untuk seorang sahaja bagi satu musim haji.
  3. Mestilah berihram pada miqat orang yang dihajikan itu atau pada tempat yang sama jauhnya dengan miqat itu. Jika ditentukan kepadanya, maka hendaklah dia berihram pada sesuatu miqat yang ditentukan, jika tidak ditentukan, maka haruslah bagi orang yang mengambil upah itu berihram pada miqat yang dilaluinya. Bagi orang yang berada di Mekah yang mengambil upah haji, maka wajiblah dia keluar kepada miqat yang dihajikannya, atau boleh juga pada mana-mana miqat yang lebih hampir kepadanya. Jika dia berihram daripada miqatnya (di Mekah) nescaya berdosa dan wajib atasnya dam.
Hendaklah seorang yang cukup mahir bagi mengerjakan ibadat haji itu dengan sempurnanya, seperti dia mengerjakan haji untuk dirinya sendiri.

Monday, 18 November 2013

Bagaimana cara mengerjakan haji dan umrah?





Ada 3 cara: 

1) Tamattuk :
    Mendahulukan umrah sebelum haji dalam bulan-bulan haji


Haji Tamattu' ialah mengerjakan Umrah pada bulan-bulan Haji, kemudian mengerjakan Haji pada tahun yang sama, di mana ketika berniat ihram Haji jemaah Haji berniat secara "Haji Tamattu'". Setelah itu dia berniat dan berihram untuk mengerjakan Umrah secara berasingan seperti yang dijelaskan sebagaimana berikut. Dia hendaklah menyebut: 

Yang bermaksud: (Aku telah menyahut seruanMu untuk menunaikan Umrah kerana ingin mengerjakan Haji Tamattu'), wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku ingin mengerjakan Umrah, maka permudahkanlah bagiku, maka terimalah ibadat Umrah daripadaku, sahaja aku menunaikan ibadat Umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala. Serta bertalbiah. Ketika sampai di Mekah al-Mukarramah jemaah Haji pergi ke Baitullah al-Haram lalu mengerjakan Tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan, kemudian bersaie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali, kemudian bertahallul dari Ihram dengan bercukur atau bergunting. Jemaah Haji terus berada dalam keadaan Tahallul sehinggalah sampai pada hari Tarwiah iaitu pada 8 Zulhijah di mana jemaah Haji akan berniat Ihram Haji dari tempat dia turun sambil berkata:

 "Aku telah menyahut seruanMu untuk menunaikan Haji, wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku ingin mengerjakan Haji, maka permudahkanlah bagiku, maka terimalah ibadat Haji daripadaku, sahaja aku menunaikan ibadat Haji dan berihram dengannya kerana Allah Taala. Telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, telah aku penuhi seruanMu, telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, tidak ada sekutu bagiMu. Telah aku penuhi seruanMu, sesungguhnya segala puji, segala nikmat dan segala pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu. Wahai Tuhanku! Diharamkan bagiMu rambutku dan diriku, jasadku dan semua anggotaku, daripada wangi-wangian dan perempuan serta dari semua perkara yang Engkau haramkan terhadap orang yang berihram, aku mengharapkan pertolonganMu, wahai Tuhan sekelian alam."


Seterusnya dia mengerjakan Haji sebagaimana jemaah Haji yang mengerjakan Haji Ifrad, cuma dia perlu membayar Dam kerana menikmati kemudahan semasa mengerjakan Umrah pada bulan-bulan Haji sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan."
Umrah (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. 

Orang yang telah mengerjakan Tawaf Umrah ketika mengerjakan Haji Tamattu' tidak perlu lagi mengerjakan Tawaf Qudum bagi Haji malah selepas Tahallul yang pertama dia hendaklah melakukan Tawaf Ifadhah dan bersaie di antara Safa dan Marwah bagi ibadat Haji mengikut pendapat jumhur ulama. 

Walau bagaimanapun bagi Mazhab Hanafi, bagi jemaah Haji yang mengerjakan Haji Tamattu' yang tidak membawa (mendapatkan) binatang ternakan, tetapi jika telah membawa (mendapatkan) binatang tersebut, maka hukumnya sama seperti hukum Haji Qiran.



2) Ifrad :
    Mendahulukan haji sebelum umrah di dalam bulan-bulan haji


Haji Ifrad ialah berihram Haji sahaja (mengerjakan ibadat Haji secara berasingan) di mana jemaah Haji hanya berniat ihram Haji sahaja di miqat yang ditetapkan kemudian menyebut: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku! Aku ingin mengerjakan ibadat Haji, oleh itu permudahkanlah bagiku dan terimalah ibadat Hajiku."
Lantas bertalbiah. Apabila memasuki Kota Mekah jemaah Haji mula melakukan pekerjaan Haji di Masjidil Haram di mana apabila melihat Baitullah jemaah Haji bertakbir kemudian mengucapkan LA ILAAHA ILLALLAH dan bertasbih seterusnya melakukan Tawaf bagi bukan penduduk Mekah iaitu Tawaf Qudum mengelilingi Baitullah sebanyak tujuh kali sambil menutup bahu kiri dan berlari-lari anak pada tiga pusingan pertama.

Cara tersebut adalah sunat di sisi jumhur dan wajib bagi Mazhab Maliki. Penduduk Mekah tidak boleh melakukan Tawaf tersebut. Setelah selesai melakukan Tawaf Qudum, dilakukan pula Saie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh pusingan. Kemudian terus berada di Mekah dalam keadaan berihram. Apabila tiba hari Tarwiah dia berangkat ke Mina dan berada di sana sehingga selesai mendirikan sembahyang Subuh hari Arafah. Setelah itu bertolak pula ke Arafah dan berada di sana serta mendirikan sembahyang Zuhur dan Asar pada waktu Zuhur (Jamak Taqdim).

Setelah tenggelam matahari jemaah Haji mula ifadhah (beredar) sehingga tiba di Muzdalifah lalu mendirikan sembahyang Maghrib dan Isyak. Apabila terbit matahari pada Hari Nahar (Hari Raya Korban), jemaah Haji ifadhah (beredar) lagi ke Mina lantas mula melontar. Talbiah tidak lagi disebut setelah bermulanya lontaran pertama. Kemudian menyembelih korban jika ingin berbuat demikian lantas bercukur atau bergunting sebagai bertahallul, dengan demikian jemaah Haji dihalal semua perkara yang diharamkan semasa dalam keadaan berihram kecuali perempuan (bersetubuh).


Setelah itu jemaah haji kembali ke Mekah lalu melakukan Tawaf di Baitullah sebagai Tawaf ziarah sebanyak tujuh pusingan seterusnya bersaie di antara Safa dan Marwah jika tidak melakukan Saie selepas Tawaf Qudum. Setelah selesai bolehlah bersaie dan bertahallul serta dihalalkan baginya perempuan (bersetubuh). Jemaah Haji kembali semula ke Mina dan berada di sana sehingga selesai melontar ketiga-tiga jamrah sama ada jemaah Haji yang tergesa-gesa ingin cepat pulang atau yang masih mempunyai banyak masa. Setelah itu jemaah Haji kembali lagi ke Mekah melakukan Tawaf Wida'.



3) Qiran :
    Haji dan umrah dilakukan bersama.


Haji Qiran ialah menghimpunkan antara Haji dan Umrah dalam satu perjalanan musafir (sekali pergi). Jemaah Haji berniat Haji dan Umrah dengan satu niat dari miqat yang ditetapkan dengan berkata: Yang bermaksud: "Aku telah memenuhi seruanMu untuk menunaikan ibadat Haji dan Umrah."

Apabila jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran memasuki Kota Mekah, dia melakukan Tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan secara berlari-lari anak pada tiga pusingan pertama kemudian diteruskan dengan bersaie di antara Safa dan Marwah seterusnya disyarakkan di sisi Hanafi agar jemaah Haji melakukan pekerjaan-pekerjaan Haji sebagaimana Haji Ifrad manakala di sisi jumhur memadai bagi jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran melakukan satu Tawaf (tujuh pusingan) dan satu Saie (tujuh pusingan) sahaja kerana Tawaf dan Saie Umrah yang dilakukan itu juga dikira sebagai Tawaf dan Saie Haji sehinggalah dia bertahallul dari Umrah dan Haji secara serentak.